Perdana Menteri dan juga Presiden Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Nasional Khas 2023 Malaysia Madani : Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Kira-kira 1,200 perwakilan PKR dari seluruh negara berkampung di Stadium Malawati di sini untuk mengikuti Kongres Nasional Khas 2023 parti itu di sini hari ini.

Kongres bertema Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar akan menyampaikan ucapan dasar  sekaligus merasmikan persidangan itu kira-kira pukul 10 pagi.

Sebelum itu, beliau menyempurnakan Flagoff Banjir Khidmat Malaysia ke Johor anjuran Angkatan Muda Keadilan di luar pekarangan Stadium Malawati.

Menurut Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kongres Khas itu agak berbeza dari siri sebelumnya.

“Sebelum ini, kita dihidangkan dengan pelbagai ujian, cabaran dan dikhianati tetapi akhirnya kita sekali lagi berpeluang berada di tampuk pentadbiran Putrajaya.

“Bahkan lebih manis lagi sosok yang kita sokong, YAB saudara Anwar Ibrahim kini menjawat Perdana Menteri ke-10.

“Tentunya ujian dan cabaran ini tidak akan pernah berakhir,” katanya dalam kata-kata aluan buku program Kongres Khas Keadilan 2023 hari ini.

Kongres Khas satu hari ini diisi dengan Ucapan Dasar Presiden, peluncuran Koperasi Keadilan (KIRA) dan jamuan khas presiden bersama tetamu jemputan.

Tengah hari dan petang pula menyaksikan perbahasan oleh wakil negeri dan sayap manakala Naib-Naib Presiden akan menggulung serta disusuli ucapan penangguhan oleh Presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast