khaled nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pemimpin parti pelbagai peringkat kembali bertaut setelah proses pemilihan hari ini selesai.

Menurut beliau, walau apa pun keputusan yang bakal diterima, mereka mesti menumpukan usaha untuk memulih dan memperkuatkan parti.

“Kerana yang lebih utama ialah kemenangan demi UMNO, bukan survival individu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 kali ini menyaksikan Mohamed Khaled bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.

Turut mempertahankan jawatan yang sama ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Calon-calon lain yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden ialah Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Hasni Mohammad, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – MalaysiaGazette