Salahudin melakukan simbolik Majlis Perasmian Bangunan Baharu SSM Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

MELAKA – Seramai 1,000 mangsa banjir daripada kumpulan miskin tegar dan B40 di Johor dan Pahang akan menerima baucar barangan elektrik bernilai RM300 untuk membantu meringankan beban mereka.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif di bawah Payung Rahmah itu akan disalurkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“KPDN melalui SSM kita bersetuju melakukan inisiatif Payung Rahmah kepada mangsa banjir di Johor dan sebahagian di Pahang yang mana kita memperuntukkan bajet untuk 1,000 mangsa.

“Kita akan bantu dengan baucar bernilai RM300 setiap satu untuk mereka membeli barang keperluan asas seperti mesin basuh atau peti sejuk ataupun peralatan elektrik yang musnah akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu SSM Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Salahuddin Ayub

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar barangan elektrik untuk memberikan tawaran harga istimewa kepada kumpulan sasar itu.

“Ini juga kita akan bincang yang mana syarikat ini mungkin boleh jual dengan harga diskaun kemudian KPDN akan tambah lagi RM300 baucer untuk mereka beli peralatan baharu.

“Ini antara inisiatif baharu Payung Rahmah untuk kita bantu mangsa banjir yang majoritinya di Johor dan sebhagain kecil di Pahang dan sekarang ini kita sedang kumpulkan data kerana mahu bantuan ini sampai kepada mereka yang terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette