Melalui penggunaan ScanKod, jenayah kecurian menggunakan kaedah konvensional seperti mengubahsuai kenderaan atau plat pendaftaran sebelum dijual semula dapat dielak.

KUALA LUMPUR – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, Globe Resources Sdn Bhd  membangunkan kod respons pantas atau kod QR bagi menangani kes kecurian kenderaan.

Sistem yang dikenali sebagai ScanKod itu bakal digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelang akhir tahun ini sebelum ia dibuka kepada agensi penguatkuasaan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Globe Resources Sdn. Bhd., S. Maren memberitahu, ScanKod dibangunkan menggunakan tiga teknologi iaitu pertama pembinaan tersulit (encrypted built-in) dalam bentuk kod yang boleh imbas menggunakan formula yang hanya diketahui perekanya sahaja.

“Kedua adalah algoritma bermilik yang diaplikasikan dalam sistem berkomputer untuk keputusan yang direka.

“Ketiga adalah stiker yang ditampal pada skrin, sama seperti fungsi hologram yang merupakan medium penyimpanan data,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Maren memberitahu, sistem yang serba mudah itu memerlukan pengguna kederaan memasang atau menampal stiker berkod pada cermin kereta dan striker tersebut akan berfungsi sebagai penyimpan segala data kenderaan dan pemilik.

“Pangkalan data tersebut mengandungi semua butiran kenderaan seperti jenama, pendaftaran, model, warna, maklumat pemilik sehingga nombor casis kereta dan ia boleh dimbas menggunakan aplikasi ScanKod yang hanya dimuatnaik dalam telefon bimbit pihak polis.

“Jika ada elemen keraguan, pihak polis boleh memeriksa secara lanjut dan ini satu amaran bagai ScanKod ini sangat selamat dan terlindung.

“Tujuan ScanKod diperkenalkan ialah mengekang atau menyukarkan perompak mencuri menggunakan kaedah konvensional iaitu menukar plat pendaftaran.

“Ini kerana plat pendaftaran kenderaan boleh diganti dengan mudah dengan nombor plat palsu sebaliknya corak imabasan QR pula ScanKod tidak boleh ditiru atau diimitasi dan tiada satu yang sama dengan yang lain,” kata Maran sambil menambah corak unik itu mengandungi beberapa lapisan keselamatan seperti penyulitan proprietari dan algoritma.

Buat masa ini, kata beliau, pihakya akan membuka kemudahan pemasangan ScanKod di kedaikedai aksessori dan bagi kenderaan baharu, daripada pihak pengeluar itu sendiri.

Menurut kajian Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) pada 2020, satu kenderaan dicuri setiap satu jam 15 minit di Malaysia.

Ini bermakna sejumlah 20 kenderaan dicuri pada setiap hari pada tahun itu. – MalaysiaGazette