pinjaman MARA MRSM berbayar
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar diwujudkan khusus utuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cadangan itu adalah hasil pandangan yang diperolehinya daripada ramai pihak.

Asyraf Wajdi berkata, MRSM berbayar itu boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp.).

“Namun, saya tegaskan ia tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM itu sendiri termasuklah seperti kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau percaya, wujud permintaan oleh ibu bapa daripada golongan elit yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM.

Asyraf berkata, mereka sanggup menanggung kosnya walaupun berkemampuan menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.

Asyraf Wajdi memberitahu, ini adalah kerana MRSM terbukti sebagai satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.

“Justeru saya minta Mara dan Mara Corp. untuk memperhalusi cadangan ini secara holisitk bagi memenuhi segmen masyarakat seperti ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette