KUALA LUMPUR – Seramai 1,302 pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menyertai program Literasi Kewangan sempena Global Money Week 2023 yang
berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Program anjuran bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu turut menghimpunkan
sebanyak 36 politeknik dan 105 kolej komuniti dari seluruh negara.

Lebih membanggakan, ia berjaya melakar sejarah sebagai program literasi kewangan pertama melibatkan penyertaan tertinggi dan serentak di seluruh negara dengan
melibatkan seramai 38,847 peserta sekali gus berjaya direkodkan dalam MBOR.

Di PSA, program diadakan di Dewan Al Jazari manakala taklimat disampaikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Sektor AKPK, Nor Akmar Yaakub.

Dalam taklimatnya. Nor Akmar menekankan kepentingan menetapkan matlamat kewangan terutama dalam kalangan generasi muda bagi memastikan aliran kewangan
yang stabil dan sihat berdasarkan jumlah pendapatan.

Beliau turut memberi pemahaman kepada para pelajar bahawa terdapat tiga jenis perbelanjaan yang disarankan iaitu perbelanjaan tetap, perbelanjaan berubah dan
simpanan. – MalaysiaGazette