Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan dalam urusan mendapatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dilakukan hasil serbuan di Melaka dan Selangor pada 15 dan 17 Mac lalu.

Menurut beliau, pada Februari lalu, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

“Mangsa diminta oleh suspek untuk membayar sumbangan sebanyak RM600,000 bagi mendapatkan Darjah Kebesaran Seri Pasukan Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

“Untuk meyakinkan mangsa, suspek telah memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hussein berkata, akibat terpedaya dengan penipuan dan surat yang diterima, mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

Bagaimanapun, mangsa berasa ditipu apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah.

Mangsa kemudian tidak menjelaskan baki bayaran kepada suspek sebaliknya membuat laporan polis.

Katanya lagi, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah penipuan.

Semakan dengan pihak istana juga mendapati surat yang diberikan oleh suspek kepada mangsa adalah palsu, ujarnya.

Jelas beliau, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas surat yang dipercayai palsu tersebut dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan itu.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan oleh individu atau kumpulan individu dalam urusan pembelian darjah kebesaran.

“Polis telah mendapat pengesahan dengan pihak istana bahawa tidak sesekali wujud penjualan darjah kebesaran daripada pihak istana.

“Kegiatan jenayah tersebut juga mencemarkan nama baik dan imej istana Selangor,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sekiranya terdapat mana mana individu atau kumpulan yang menggunakan nama istana dalam apa-apa jua aktiviti jenayah, polis akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pihak terlibat. – MalaysiaGazette