Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Ringgit meneruskan keuntungannya hari ini untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4690/4715 berbanding dolar AS daripada 4.4830/4885 yang direkodkan semalam.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran nampaknya menjangkakan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) akan cenderung menurunkan kadar faedah berikutan perkembangan semasa industri perbankan AS.

“Keputusan untuk menurunkan kadar faedah ini menjelaskan kenapada dolar AS diniagakan dalam jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes, berkata pasaran sudah mula membahagikan isu perbankan AS dan Kesatuan Eropah (EU), risiko berkenaan tidak merebak ke Asia.

“Apa yang penting dalam pasaran pertukaran asing, ia dianggap sebagai kejutan menurunkan kadar faedah oleh Fed.

“Justeru, ringgit didagangkan lebih kukuh kerana penurunan kadar faedah AS dijangka akan berlaku sebelum akhir tahun,” katanya.

Innes berkata, tumpuan kini beralih kepada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada hari Rabu ini, sama ada mengekalkan kadar faedah atau menaikkannya sebanyak 25 mata asas tetapi dasar monetori oleh bank pusat akan menjadi perkara paling penting.

“Jika Pengerusi Fed, Jerome Powell memilih untuk menurunkan kadar faedah maka ringgit akan meningkat bagaimanapun menjelang pengumuman itu kenaikan ringgit mungkin akan dihadkan,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4759/4789 daripada 5.4657/4724 ketika ditutup semalam dan turun berbanding euro kepada 4.8028/8055 daripada 4.7843/7901, bagaimanapun ia melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.3807/3829 daripada 3.4177/4224 sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0166/0311 daripada 13.1408/1631 pada Isnin dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 291.10/291.50 daripada 291.80/292.30 sebelumnya.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3423/3444 daripada 3.3408/3454 semalam dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.22 daripada 8.20/8.21 sebelumnya. – BERNAMA