Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan Yayasan Albukhary telah diberikan kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan milik tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak benar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata, kelulusan pembatalan pengecualian cukai kepada yayasan itu telah dibuat pada 25 Februari 2021.

“Kerajaan mengesahkan dari rekod Kementerian Kewangan bahawa YB Bagan (Guan Eng) semasa menjawat Menteri Kewangan tidak pernah membuat pembatalan kepada kelulusan percukaian sebelumnya yang didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau membatalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan cukai yang di luar kebiasaan yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan Kumpulan AlBukhary,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Guan Eng semasa menjawat Menteri Kewangan daripada Mei 2018 sehingga Februari 2020 telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan sebabnya pembatalan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri jika ada.

Beliau juga bertanya bila pembatalan pengecualian cukai berkuatkuasa dan dipulihkan semula dan apakah jumlah kewangan yang diterima oleh Yayasan Albukhary dan manfaaat kepada kerajaan daripada pengecualian cukai tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Beliau turut mendakwa mengetahui punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Bagaimanapun, Guan Eng mencabar Muhyiddin mengemukakan bukti mengenai surat pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary yang didakwa dikeluarkan beliau atau berdepan tindakan saman fitnah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast