Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah disyaki syabu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah hari ini. Polis Kelantan berjaya merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17. 9 juta di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad pada Isnin. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

TANAH MERAH – Polis merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta yang dijumpai di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang suspek bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran dan meninggalkan van itu dalam keadaan enjin masih hidup, ketika serbuan dijalankan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang van terbabit mendapati 13 guni putih berisi dadah jenis syabu disorokkan di dalam timbunan pakaian terpakai.

“Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA