Gambar hiasan

WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew akan memberitahu penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang syarikat aplikasi video dimiliki rakyat China itu tidak pernah berkongsi data dengan Beijing.

Chew dijangka berkata demikian di hadapan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Dewan Perwakilan AS pada Khamis.

Beliau dijangka perlu menjawab soalan-soalan berkaitan dakwaan yang mengatakan aplikasi itu boleh dimanipulasi Parti Komunis China.

Minggu lalu, syarikat itu mengesahkan laporan yang mengatakan White House meminta TikTok memutuskan hubungan dengan pemiliknya di China atau berdepan tindakan disekat.

“TikTok tidak pernah berkongsi atau menerima permintaan untuk berkongsi data-data pengguna AS dengan kerajaan China.

“TikTok juga tidak akan melayan permintaan sebegitu sekiranya ada,” kata Chew menurut testimoni yang diterbitkan jawatankuasa itu, Selasa lalu.

Chew menambah, syarikat induk TikTok, ByteDance tidak dimiliki atau dikawal kerajaan China atau mana-mana entiti milik negara itu.

“Biar saya tegaskan, ByteDance bukan ejen China atau mana-mana negara,” katanya lagi.-Agensi