Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada urus niaga awal Khamis, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih lemah.

Pada 9.25 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI susut 3.73 mata kepada 1,408.31 daripada penutup Rabu pada paras 1,412.04.

Indeks utama itu memulakan dagangan pada paras 1,406.97, susut 5.07 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 242 berbalas 153, manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,624 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 549.71 juta unit bernilai RM190.02 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan sentimen kurang memberangsangkan berikutan prestasi Wall Street yang lebih lemah akan turut menular kepada indeks penanda aras serantau dan bursa tempatan susulan daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mengunjurkan satu lagi penurunan jualan berasaskan luas, terutamanya dalam sektor teknologi berikutan kemerosotan di Wall Street semalaman.

“Pelabur mungkin telah bersedia untuk berhadapan dengan lebih banyak ketidaktentuan harga dan berkemungkinan memilih meningkatkan pendedahan mereka dalam sektor yang lebih defensif seperti pengguna, syarikat telekomunikasi dan utiliti,” kata firma pembrokeran itu.

Sementara itu, saham-saham wajaran tinggi Bursa seperti IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM5.89, Hong Leong Bank meningkat 16 sen kepada RM20.26, manakala CIMB dan CelcomDigi tidak berubah, masing-masing pada RM5.20 dan RM4.26.

Maybank dan Petronas Chemicals pula susut empat sen setiap satu untuk mencatatkan harga RM8.51 dan RM6.75.

Bagi saham aktif, Niche Capital menambah setengah sen kepada 16 sen, Hong Seng Consolidated dan Jade Marvel tidak berubah, masing-masing pada harga 13.5 sen dan 31 sen, manakala Zen Tech susut setengah sen kepada 2.5 sen sementara AirAsia X turun tiga sen kepada RM1.44.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 17.61 mata kepada 10,305.13, Indeks FBMT 100 susut 17.68 mata menjadi 9,998.92 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 1.97 mata kepada 10,624.40.

Indeks FBM 70 meningkat 13.04 mata kepada 13,302.17 manakala Indeks FBM ACE kerugian 17.62 mata kepada 5,284.06.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menokok 1.63 mata kepada 807.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 54.32 mata menjadi 15,592.68, Indeks Perladangan turun 5.77 mata kepada 6,743.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.39 mata kepada 166.32.  – BERNAMA