ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengeluarkan 576 Sijil Tempasal Berkeutamaan dengan nilai Percuma atas Kapal (FOB) lebih RM226.6 juta kepada pengeksport tempatan sejak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berkuat kuasa pada 29 Nov, 2022 sehingga data terkini pada 10 Mac, 2023.

Menurut MITI langkah itu bagi membolehkan pengeksport tempatan mendapat layanan berkeutamaan melalui duti import yang lebih rendah atau bebas duti di bawah Perjanjian CPTPP.

“Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat permintaan daripada pengeksport tempatan terhadap Perjanjian CPTPP, sekali gus meyakinkan kerajaan bahawa CPTPP adalah relevan dan perlu diteruskan pelaksanaannya,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang bertarikh 22 Mac, 2023.

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan lisan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang tidak dijawab di dalam Dewan Rakyat mengenai rasional kerajaan meratifikasikan Perjanjian CPTPP di samping penjelasan tuntas bagi pelbagai persoalan berbangkit dan langkah mempersiapkan industri tempatan berdepan dengan impak ratifikasi ini.

MITI menambah sehingga kini, sebanyak enam negara iaitu United Kingdom (UK), China, Taiwan, Ecuador, Costa Rica dan Uruguay telah mengemukakan permohonan kemasukan ke dalam Perjanjian CPTPP secara rasmi.

Permohonan itu disifatkan sebagai satu petanda positif yang membuktikan bahawa Perjanjian CPTPP memberi pelbagai manfaat termasuk dalam meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi negara-negara tersebut, jelasnya.

“Untuk makluman, rundingan kemasukan UK ke dalam Perjanjian CPTPP adalah di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Jelas dapat perhatikan bahawa, sekiranya Perjanjian CPTPP tidak mempunyai sebarang manfaat atau faedah, maka sudah pasti negara-negara tersebut tidak akan membuat permohonan rasmi untuk menyertai perjanjian ini,” menurut MITI lagi.

MITI menegaskan sekiranya Malaysia menarik diri daripada Perjanjian CPTPP, tindakan itu akan amat merugikan negara.

Ini kerana Malaysia bukan hanya akan terlepas daripada menikmati segala manfaat serta peluang yang boleh diperoleh menerusi perjanjian berpiawaian emas ini, malah juga mungkin dilihat sebagai bergerak ke belakang dalam perdagangan antarabangsa, tambah kementerian itu.

Mengulas mengenai kesan yang mungkin timbul selepas CPTPP dikuatkuasakan, MITI menekankan bahawa kerajaan telah berjaya merundingkan dan memperoleh beberapa fleksibiliti dan ruang dasar untuk Malaysia di bawah perjanjian ini.

“Selain itu, Kerajaan kekal optimis bahawa manfaat yang dinikmati daripada Perjanjian CPTPP jauh lebih banyak berbanding sebarang kos yang mungkin timbul, seperti mana dapatan hasil Kajian Analisis Kos-Faedah berhubung penyertaan Malaysia dalam CPTPP yang telah dilaksanakan oleh PricewaterhouseCoopers (PWC),” menurutnya. – BERNAMA