Khatul Anuar Md. Jalil.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md. Jalil enggan selesa meskipun telah kembali diberi peluang membarisi kesebelasan utama pasukan minggu lalu selepas berdepan kecederaan buku lali pada pra musim.

Khatul akhirnya diberi peluang untuk beraksi ketika menentang Sabah FC pada minggu lalu menyaksikan Penang tewas 2-5 di Stadium Likas.

Walaupun sudah pulih sepenuhnya, pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kedudukannya sebagai penjaga gol utama juga masih belum selesa memandangkan Shafiq Afifi Suhaimi telah melakukan tugas yang baik dalam empat perlawanan awal sebelum ini.

“Alhamdulillah sekarang sudah semakin pulih dan bersyukur apabila akhirnya dapat peluang berada dalam kesebelasan utama.

“Cuma yang tidak puas apabila saya gagal bantu pasukan dapatkan mata ketika beraksi di Likas dan itu yang mengecewakan saya.

“Waktu pra musim, saya berehat dalam tiga minggu juga dan apabila liga dah mula, jurulatih tidak mahu ambil risiko lagi untuk turunkan saya dan Shafiq diberi peluang.

“Tapi sudah tentu, Shafiq juga bermain dengan baik dan saya percaya siapa yang betul-betul cergas akan menjadi pilihan jurulatih,” katanya.

Dalam pada itu, skuad kendalian Manzoor Azwira ini telah memulakan latihan pada Isnin lalu menyaksikan barisan pemain kini dalam fasa untuk menyesuaikan diri berlatih pada bulan Ramadan.

Bagi Khatul, tiada yang berbeza kali ini dan mereka akan mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk mengharungi lima lagi perlawanan sepanjang bulan Ramadan bermula 31 Mac ini.

“Selepas habis perlawanan lawan Sabah, kami diberi cuti tiga hari dan lepas itu, sambung berlatih balik.

“Cuma sekarang ini kita akan tukar balik waktu latihan dan akan berlatih pada waktu malam, jadi kena lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan bulan Ramadan ini.

“Kita akan ada empat perlawanan liga dan satu lagi aksi Piala FA, jadi pasukan memang kena fokus dengan lebih baik untuk memastikan keputusan positif berpihak kepada kami”, katanya.

Penang FC ketika ini berada di tangga ke 13 Liga Super selepas berdepan dua seri dan tiga kekalahan setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast