KUALA LUMPUR – Penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan Pas.
Ini kerana, Pejuang bukan parti utama seperti UMNO dan Bersatu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit.
“Pejuang tewas di semua kerusi yang ditandingi pada PRU-15, termasuk bekas pengasasnya, Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya seperti yang dilapor FMT.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah dalam reaksi kepada keputusan PN itu memberitahu, partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.
Selasa lalu, PN mengumumkan menolak permohonan Pejuang untuk menyertai komponen itu, yang dipimpin Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tuan Ibrahim dalam pada itu tidak menolak hasrat Pejuang memohon untuk menyertai PN demi menyelamatkan beberapa kerusi DUN parti itu.
Namun, pada pandangan Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, adalah lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai Pas atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.
“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan penolakan Pejuang itu bermakna PN menolak agenda penyatuan ummah yang diperjuangkan Pas.
“Kalau betul-betul nak lihat dari segi kebersamaan dalam pasukan pembangkang, lebih baik masuk parti dalam PN sedia ada sebab dia asalnya dari Bersatu dan bentuk parti lain”, ujarnya. –
Selain itu, tambahnya, kemasukan Pejuang juga akan mengganggu pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeriĀ (PRN) menjadi antara sebab PN menolak permohonan Pejuang Tanah Air menyertai gabungan itu.
“PN khuatir kemasukan parti baharu ketika hampirnya pilihan raya akan mengganggu perbincangan yang sedang berjalan.
“Masa dia masuk dekat PRN parti komponen PN sudah bincang, bila terima masuk (Pejuang) ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette