Saravanan berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-3 KOPEJA hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi sedang dan sudah lama memainkan peranan besar dalam membantu golongan isi rumah B40 bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Malah koperasi juga disifatkan sebagai satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada masyarakat secara amnya.

Menurut Pengerusi Koperasi Penternak Jaya (KOPEJA) yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan,  kepentingan dan peranan yang telah dimainkan koperasi penting terutama dalam peningkatan kos sara hidup mendadak masa kini.

Kata mantan Menteri Sumber Manusia itu, koperasi juga  membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.

“Kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi satu gaya hidup yang mampu menyumbang kepada kemakmuran sosioekonomi negara. Seperti kita di KOPEJA, banyak menawarkan pelbagai jenis pembiayaan, pinjaman peribadi dan pengguna kepada ahli tertakluk kepada peraturan peruntukan undang-undang dan akta yang dibenarkan.

“Produk dalam bentuk pelan pembiayaan peribadi pinjaman sebagai contoh, untuk mendirikan rumah tangga, membeli barangan kemas, pendidikan anak-anak dan pertanian bakal disediakan kepada ahli yang layak.

“Sebenarnya koperasi pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-3 KOPEJA hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, KOPEJA menggalakkan belia untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai tenaga mahir dan pengusaha pertanian melalui penggunaan teknologi terkini.

“Kursus kemahiran pertanian akan juga dijalankan untuk memberi pendedahan, galakan, kesedaran dan minat terhadap pertanian. Selain itu kita juga ada banyak lagi inisiatif lain untuk terus menarik minat semua khasnya golongan muda untuk lebih dekat dengan koperasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast