UMUM mengetahui sejarah dan perkembangan irama nasyid di Malaysia mula berkembang sekitar tahun 1970-an hingga tahun 1980-an di mana kita menyaksikan
kemunculan kumpulan nasyid pelopor seperti Al-Jawaher dan banyak lagi. Banyak pertandingan dan festival nasyid dianjurkan sejak itu.
Irama nasyid memasuki era baru pada tahun 1990-an apabila konsep irama nasyid kontemporari diperkenalkan. Era baru yang membawa kebangkitan irama nasyid di negara kita ini seiring dengan penubuhan kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani dan banyak lagi yang pantas mencuri hati segenap lapisan masyarakat di negara kita dan mencipta fenomena. Sebelum itu, kita dapat melihat kumpulan nasyid seperti Nadamurni dan The Zikr.
Bahkan, pada era nasyid kontemporari kita sekali lagi dapat melihat kebangkitan kumpulan nasyid wanita seperti kumpulan Solehah dan kumpulan Mawaddah, mengulangi jalan yang yang dirintis kumpulan Al-Jawaher dahulu.
Penganjuran pertandingan dan festival nasyid kembali meriah ketika era nasyid kontemporari ini. Selain itu, kehadiran kumpulan-kumpulan nasyid pelapis seperti In-Team, UNIC, Firdaus dan banyak lagi dengan konsep dan gaya tersendiri telah berjaya menarik minat anak-anak muda pada ketika itu untuk menjadikan irama nasyid sebagai salah satu wadah hiburan mereka.
Jualan barangan cenderahati kumpulan-kumpulan nasyid ini turut meningkat. Rata-rata kumpulan nasyid ini mempunyai kumpulan peminat yang tersendiri dan menyokong inisiatif yang dilakukan oleh kumpulan nasyid kesayangan mereka. Siapa yang tidak mengenali kopiah Hijjaz, kopiah Raihan dan produk-produk lain. Ia ‘laku keras’ pada waktu itu. Penubuhan kelab peminat kumpulan-kumpulan nasyid tersebut juga merancakkan suasana di mana aktiviti suai kenal dan ramah mesra, gotong-royong, sukarelawan dan banyak lagi kerap dijalankan oleh ahli kelab peminat bersama-sama kumpulan nasyid.
Namun, era gemilang irama nasyid kontemporari yang dirintis ini tidak kekal berpanjangan seperti yang diharapkan. Dalam tempoh masa 20 tahun lepas pelbagai perkara yang berlaku melibatkan irama nasyid. Antara perkara-perkara besar yang berlaku seperti pengunduran tuan Nazrey Johani daripada kumpulan Raihan, Ustaz Asri Ibrahim daripada kumpulan Rabbani meninggal dunia dan beberapa orang penggiat nasyid tanahair meninggal dunia membuatkan era gemilang nasyid kontemporari yang dilakar sebelum ini kian sirna.
Selain itu, kesukaran kumpulan pewaris nasyid kontemporari meneruskan legasi kecemerlangan kumpulan-kumpulan nasyid utama turut dilihat menyumbang kepada
kemerosotan ini. Lagu-lagu baru yang dihasilkan juga kadangkala dikatakan terikut-ikut dengan lagu-lagu dan gaya kumpulan nasyid utama. Tiada elemen baru atau kelainan yang lebih segar dalam muzik yang dibawa untuk mereka tonjolkan. Ini sekaligus membuatkan masyarakat memandang sepi kepada kumpulan-kumpulan baru, tetapi dalam masa yang sama terus memberikan sokongan yang padu dan jitu kepada kumpulan-kumpulan nasyid utama.
Justeru, penggiat nasyid kontemporari perlu bangkit dari lena yang panjang, seterusnya hadir dengan karya-karya baharu yang semestinya dirindui para peminat irama nasyid. Tambahan pula, suasana pada hari ini boleh dikatakan tidaklah terlalu jauh berbeza berbanding sewaktu era kegemilangan irama nasyid kontemporari dahulu.
Anak-anak muda muslim masih ramai yang menutup aurat, bertudung dan kekal dengan imej Islamik walaupun roda fesyen berputar mengikut gaya semasa dan istilah moden seperti hijabista diperkenalkan. Mereka juga masih memberikan sokongan kepada lagu-lagu nasyid dan lagu berunsur ketuhanan. Sebagai contoh, lagu-lagu dendangan Nissa Sabyan atau Maher Zain mendapat tempat istimewa di hati anak-anak muda dan dewasa di Malaysia.
Bagaimana suasana pada hari ini boleh memberi kelebihan terhadap kebangkitan irama nasyid? Pelbagai perkara perlu dilihat dan diperhalusi serta dijadikan peluang untuk
mengembalikan irama nasyid sebagai wadah hiburan anak-anak muda kita.
Pertama, jadikan ‘reunion’ kumpulan nasyid sebagai wadah ‘comeback’. Jika kita masih ingat, pada tahun 2017, sebuah ‘reunion’ di antara kumpulan Hijjaz dan kumpulan Rabbani menghasilkan Nadamurni 2017. Peluang ini wajar digunakan untuk bergerak kehadapan danmemperkenalkan lagu-lagu baru, bukan sahaja untuk peminat sedia ada bahkan sebagai perkenalan kepada anak-anak muda generasi baru; Gen Z dan Gen Alpha.
Seterusnya, penulis lirik dan komposer nasyid yang telah menjadi ‘otai’ menurunkan pengalaman dan kemahiran dimiliki kepada penulis lirik dan komposer nasyid yang baru dan berpotensi. Sesungguhnya ‘skill set’ yang dimiliki orang-orang lama ini sangat berharga. Jika Dewan Bahasa dan Pustaka ada Minggu Penulis Remaja (MPR), aplikasi program sebegini khusus bagi melatih penulis lirik dan komposer nasyid baharu dilihat sangat relevan dan signifikan, apatah lagi demi survival irama dan muzik nasyid itu sendiri.
Selain itu, seiring dengan ledakan penggunaan media sosial dan aplikasi seperti Youtube, TikTok, Spotify dan Joox, ianya boleh dimanfaatkan oleh kumpulan-kumpulan nasyid
baru dan lama sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan mempromosikan lagu-lagu serta jenama nasyid yang dibawa. Penggunaan media sosial dan aplikasi hiburan ini bukanlah 100% membawa mudarat jika ianya digunakan sebaik mungkin. Bahkan, merupakan arena yang berpotensi kerana masih belum diteroka sepenuhnya.
Sebagai penutup, irama nasyid ini tidak berkubur, bahkan sentiasa relevan seperti cogan kata peminat-peminat nasyid; nasyid membentuk jiwa murni. Justeru, semua pihak harus
bekerjasama bagi merealisasikan kebangkitan irama nasyid sekali lagi. Siapa tahu, irama nasyid kontemporari akan kembali.
Oleh: Mohammad Sufian Abdul Manan
Penolong Pendaftar Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA
Nurbaizura Edayu Mohd Annuar
Penolong Pendaftar Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA