Tiga ditahan polis dalam kejadian kecurian kompresor penghawa dingin di Ampang Jaya semalam.

AMPANG – Tindakan seorang penganggur mencuri kompresor penghawa dingin di sebuah rumah di Taman Rasmi Jaya di sini pada 19 Februari lalu semata-mata untuk menyara kehidupan hariannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, itu pengakuan suspek selepas ditahan kerana perbuatannya semalam.

Suspek, menurutnya, ditahan pukul 1.40 petang selepas polis menerima  laporan daripada penghuni rumah yang menjadi mangsa.

“Penghuni yang terkejut melihat kejadian itu selepas pulang ke rumah pada hari kejadian itu membuat laporan kepada polis. Bertindak atas laporan itu polis berjaya mengesan dan akhirnya mencekup suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suspek lelaki berusia 40 tahun itu akhirnya berjaya dijejaki dan diberkas polis di tepi Jalan Ampang Putra semalam.

 

Antara barang curi yang dirampas daripada suspek selepas ditahan polis di Ampang Jaya. Ihsan Polis IPD Ampang

Tambah Mohamad Farouk, siasatan lanjut juga suspek mengaku dia telah menjual kompresor itu kepada pasangan suami isteri warga asing berusia 47 dan 56 tahun dengan harga RM90 sahaja.

Katanya, berikutan penahanan suspek berkenaan dan berpandukan maklumat yang diberikan pasukan kami membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah yang terletak di Taman Permai Jaya di sini semalam.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga asing yang dipercayai membeli barang curi daripada suspek.

“Semakan rekod jenayah lampau ke atas suspek penganggur mendapati dia memiliki 12 rekod jenayah lampau dan satu rekod masih dikehendaki polis.

“Manakala suspek kedua dan ketiga (pasangan asing) pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah kesalahan lampau,” ujarnya.

Tegasnya lagi, pemeriksaan lanjut berjaya membawa polis kepada rampasan beberapa barang kes disyaki dicuri suspek dalam kes yang sedang disiasat itu antaranya penimbang, helmet dan kunci disyaki motosikal dan sebagainya.

Mohamad Farouk memaklumkan penganggur dan juga pasangan warga asing itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.

Kes berkenaan sedang disiasat rapi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan mereka. – MalaysiaGazette