Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

PETALING JAYA – Kerajaan perlu meneliti semula cadangan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Malatsia (MRSM) berbayar bagi golongan berkemampuan.

Ini kerana, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, walaupun kos pembinaan MRSM itu menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI), tetapi akhirnya ia akan merugikan kerajaan.

“Saya setuju MRSM hendak perbanyakan sekolah kerana ramai nak masuk MRSM dan apabila tempat tidak cukup dengan permohonan, sudah tentu orang yang ada kabel akan dapat tempat. Jadi, eloklah perbanyakan MRSM.

“Cuma, kenapa kita nak bina perlu buat kaedah PFI? Saya tahulah kerajaan sekarang banyak hutang, tapi PFI ini selalunya merugikan kita kerana kos perbelanjaan itu jauh lebih besar.

“Ini biasa, syarikat swasta kalau buat projek, mereka pastikan akan dapat untung besar. Kalau tidak, mereka tak akan buat. Lihat sahaja pengalaman kita dalam penswastaan ini seperti Puspakom dan sekolah memandu. Semuanya mahal selepas penswastaan,” katanya menerusi hantaran rakaman video di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan bercadang mewujudkan MRSM berbayar bagi golongan berkemampuan tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelan futuristik yang sedang disusun atur Mara itu akan menggunakan kaedah PFI serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Ahmad Zahid juga memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk memanfaatkan rakyat miskin.

Menurut Zaid, banyak kes melibatkan PFI itu menguntungkan syarikat daripada rakyat, walaupun kerajaan tidak habis duit sekarang.

“Tetapi, akhirnya kosnya akan lebih daripada dijangkakan kerana PFI itu bererti syarikat swasta berkenaan akan mengambil balik segala perbelanjaan dan keuntungan yang dijanjikan kepada mereka.

“Oleh itu, saya minta Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menang dan yang dilantik baru-baru ini, kenalah rajin buat kajian dan penelitian baik buruk cadangan itu.

“Ahli Lembaga Pengarah Mara juga kena ambil tahu projek seperti dicadangkan itu, baik atau tidak untuk kerajaan dan rakyat.

“Ini barulah dilihat oleh rakyat sebagai UMNO membela rakyat, bukan UMNO sapu duit sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada bekas Ketua Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilantik ke jawatan MKT. – MalaysiaGazette