Gambar hiasan

PEMBINAAN Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menerusi kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan swasta bagi golongan berada yang disuarakan oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini, harus diambil perhatian khusus memandangkan perkara tersebut merupakan usul yang bernas dalam membina masyarakat Malaysia cemerlang.

Jadi, dalam menyatakan usul-usul membantah perkara berkenaan, tidak perlulah mengheret minda rakyat dengan isu kononnya kerajaan cuba mengaut keuntungan projek serta mengabaikan golongan bawahan, sekali gus lari dari objektif penubuhan MRSM.

Malah, ada juga ahli politik yang menjalankan propaganda dengan bermain sentimen politik kebencian kononnya ketidaksempurnaan inisiatif kewangan swasta (PFI) dalam projek kerajaan sebelum ini, maka kita tidak harus teruskan saranan ini kerana cadangan MRSM kerjasama Mara dan swasta ini turut menggunakan kaedah PFI. Kenapa terlalu kolot dengan mempunyai mentaliti ‘dulu kita gagal maka akan datang juga kita akan gagal’?

Sebenarnya, kewujudan institusi pembelajaran seumpama ini akan banyak lagi membantu golongan bawahan.

Ketika ini, sedarlah bahawa kita ada ramai lambakan anak-anak yang cemerlang pendidikan daripada keluarga B40 dan M40.

Dengan adanya pembinaan MRSM kerjasama Mara dan swasta seumpama ini, mereka ini tidak perlu lagi bersaing dengan anak-anak T20 yang lebih bernasib baik dari segi aspek kewangan serta perbelanjaan.

Malah, bagi tujuan integrasi sosial, MRSM kerjasama Mara dan swasta ini boleh mengambil minimum 10 peratus anak-anak miskin yang dipilih berdasarkan merit dimasukkan ke MRSM kerjasama Mara dan swasta ini dengan disediakan biasiswa pendidikan penuh yang ditaja oleh pihak korporat sebagai tanggungjawab sosial (CSR).

Bagi anak-anak T20 pula, memandangkan polisi ketika ini adalah mengutamakan anak-anak B40 ke MRSM atau sekolah berasrama penuh (SBP), maka tidak adil untuk anak-anak kita daripada golongan T20 yang juga mempunyai keputusan cemerlang seperti rakan mereka, namun dinafikan hak mereka hanya kerana mereka anak keluarga T20.

Tidak mustahil sekiranya mereka juga akan memberontak memandangkan mereka masih remaja. Ini kerana mereka juga berusaha keras dalam pembelajaran.

Pilihan yang ada bagi golongan ini ketika ini ialah sekolah berasrama swasta yang kebanyakannya tidak menawarkan silibus nasional, sebaliknya menawarkan IGCSE atau O-Level dan akhirnya sekali lagi mereka dinafikan hak untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disebab tidak mempunyai Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

Selain itu, Mara juga mampu memberi penekanan lebih dalam ilmu agama kepada anak T20 ini berbanding jika mereka bersekolah swasta yang berasaskan silibus pendidikan barat.

Namun begitu, lebih baik MRSM kerjasama Mara dan swasta ini dipanggil ‘Kolej MRSM Integrasi’ memandangkan institusi pendidikan ini memberi keuntungan kepada semua golongan khusus generasi pemimpin masa depan.

Jadi, tidak perlu diputar-belit saranan ini dengan isu kononnya Mara akan menggunakan duit rakyat untuk kepentingan golongan T20 kerana kaedah PFI perlaksanaannya adalah secara Build Lease Maintain (BLM) atau Build Lease Maintain Transfer (BLMT), yang mana tempoh konsesinya akan dipersetujui secara bersama antara Mara dan pihak swasta tersebut. – MalaysiaGazette

Penulis: Khaleef Imran, Johor Bahru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast