Izzah peruntukan PH BN
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Perbuatan melanggar protokol diplomatik oleh kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dijadikan bahan sindiran oleh parti politik pembangkang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar wajar dipertahankan kerana ia melibatkan maruah negara.

“Kalau Anwar dimalukan oleh keluarga feudal Raja Saudi, kita sebagai rakyat Malaysia patut berasa marah terhadap perbuatan Raja Saudi, Raja Salman dan anaknya Putera Mahkota, Mohamad Salman ke atas perdana menteri kita.

“Ini soal imej negara bukan soal politik tahap rendah yang tidak kenal maruah bangsa dan negara.

“Perbuatan melanggar protokol diplomatik oleh kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi terhadap Anwar bukannya satu isu yang wajar dijadikan bahan persendaan oleh parti-parti politik pembangkang di Malaysia,” tegas beliau.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, sebagai rakyat yang patriotik, masyarakat perlu perlu pandai membezakan persaingan politik dalam negeri dengan politik antarabangsa yang melibatkan Malaysia.

Ahli politik, katanya, boleh berbalah mengenai isu dalam negeri namun dalam isu politik antarabangsa mereka tidak wajar bergaduh.

“Kita kena pertahankan nama baik dan maruah negara kita. Anwar bukan perdana menteri untuk rakyat Tambun atau penyokong gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan sahaja.

“Anwar Ibrahim adalah perdana menteri bagi semua 33 juta rakyat Malaysia.

“Jika perdana menteri kita, hatta dia pemimpin politik lawan kita, Anwar  tetap perdana menteri kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya jati diri,” katanya.

Hassan menegaskan, mereka yang mengambil kesempatan memburuk-burukkan dan memalukan Anwar dari fiasco di Arab Saudi perlu berasa malu pada diri sendiri.

Ini kerana pada hakikatnya mereka telah mempersendakan diri sendiri.

“Anda yang cuba memalukan Anwar, sebenarnya anda memalukan diri anda sendiri. Kita mesti kenal sempadan.

“Dalam isu antarabangsa, kita perlu ingat peribahasa Melayu lama iaitu cubit peha kiri, peha kanan sakit juga,” kata beliau.

Beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini menyindir Anwar kerana tidak bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud serta Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri, Mohammad Salman dalam lawatan rasmi ke negara itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast