hui ying
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying hadir persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mencadangkan agar kerajaan memotong sebanyak RM10 daripada gaji Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying kerana gagal menjawab soalan berkaitan kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Setiausaha Agungnya, Daniel Wa Wai Hou berkata, satu ketika dahulu, DAP pernah berseloroh supaya tindakan serupa dikenakan terhadap menteri-menteri Kabinet.

Menurut beliau, adalah tidak munasabah apabila timbul dakwaan jabatan kerajaan yang berkaitan tidak menyediakan jawapan malah ia menunjukkan Hui Ying tidak biasa dengan operasi dan isu-isu berkaitan kementeriannya.

“Kesilapan ini sukar diterima oleh masyarakat. Sekiranya menteri dan timbalan menteri tidak serius dalam menjalankan tugas mereka, bagaimana rakyat boleh yakin dengan kemampuan kerajaan ini untuk menguruskan negara dengan baik?

“Bagi mengelakkan kesilapan ini daripada berulang, saya percaya Parlimen perlu membentangkan usul untuk memotong RM10 daripada gaji Timbalan Menteri terbabit sebagai hukuman simbolik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Hui Ying ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor kerana gagal menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Ahmad Marzuk meminta Kementerian Pendidikan menyatakan peruntukan untuk program rancangan makanan tambahan (RMT) dan mekanisme pemantauan untuk memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Hui Ying, Lim Swee Kuan memohon maaf atas perkara itu dan memberi alasan pihaknya tidak menduga soalan tersebut yang berada pada kedudukan ke-16 dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini akan tiba giliran untuk ditanya kepada kementerian.

Daniel turut mempertikaikan alasan yang diberi oleh Swee Kuan itu dan menganggapnya sebagai pengakuan tidak langsung bahawa beberapa pegawai dalam Kementerian Pendidikan telah cuai dalam melakukan tugas mereka.

Beliau menambah, kegagalan Hui Ying menjawab soalan berkaitan RMT menjejaskan reputasi Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini bertekad untuk menangani isu keterjaminan makanan dan kos sara hidup yang meningkat.

“Prestasi Hui Ying sejak dilantik boleh dikatakan sebagai tidak memuaskan dan perlu diperbaiki,” jelasnya. – MalaysiaGazette