Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Seorang jurutera mengalami kerugian selepas wang simpanannya berjumlah RM125,620 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan cabutan bertuah baru-baru ini.

Lelaki berusia 27 tahun dikatakan terjerat dalam penipuan itu selepas menerima satu panggilan telefon yang mendakwa daripada sebuah syarikat di Hong Kong.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, menerusi panggilan itu, mangsa telah diminta untuk meneka satu lagu yang diperdengarkan oleh suspek.

Tan Cheng San.

“Susulan itu, sindiket menghubungi mangsa semula pada minggu lalu sebelum memaklumkan dia telah memenangi cabutan bertuah sebanyak RM326,000 kerana meneka lagu dengan betul.

“Sebelum layak menerima hadiah cabutan, mangsa diminta membuat pembayaran kepada tiga akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan pendaftaran akaun, pemindahan wang dari luar negara dan pelbagai lagi.

“Teruja dengan berita kemenangan itu, mangsa memasukkan wang berjumlah RM125,620 secara berperingkat kepada akaun berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Cheng San, mangsa hanya menyedari dia ditipu pada Jumaat lalu selepas suspek masih meminta wang tambahan berjumlah  RM50,000.

“Ketika itu pengadu sudah kehabisan wang dan dia akhirnya menyedari ditipu sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette