Ahmad Zahid Hamidi.

MELAKA – UMNO tidak mengeluarkan sebarang surat pembatalan kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat (JPU) kepadanya sebentar tadi.

“Saya ingin mengesahkan bahawa Pengerusi JPU telah memaklumkan pada saya tidak ada surat pembatalan itu.

“…dan Datuk Rais diabsahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Pulai Serkam, di sini, malam ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan kemenangan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 hari ini.

Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad dilaporkan berkata, beliau menerima pemakluman itu menerusi satu surat daripada UMNO pusat menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 2.26 petang tadi.

Beliau berkata, surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

Pada pemilihan berkenaan, Rais menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan hanya empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi.

Rais turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Ahmad Zahid.

Ditanya adakah penafian itu bermaksud surat dikeluarkan itu palsu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak pasti mengenainya.

“Saya tak pasti (surat palsu). Tapi yang penting disahkan (keabsahan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian),” katanya – MalaysiaGazette.