Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan kembali sejumlah RM21.1 juta yang sebelum ini telah dilucuthak selepas didakwa ia merupakan dana diseleweng daripada syarikat strategik 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Dana itu telah dilucuthak daripada dua parti politik dan tujuh lagi individu sebelum ini.

Mahkamah Rayuan yang bersidang bersama tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian diberitahu Jabatan Peguam Negara tidak akan mencabar permohonan rayuan ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Jabatan Peguam Negara menerima representasi mereka dan tidak akan mencabar permohonan rayuan pemohon bagi pengembalian wang tersebut.

Kamaludin kemudian memerintahkan dana sebanyak RM21.1 juta dikembalikan dalam tempoh dua bulan bersama-sama faedah.

Antara 11 responden itu seperti berikut: Jakel Trading Sdn Bhd (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn Bhd (RM4,631,602), AGA Touch Sdn Bhd (RM3 juta) , Barisan Nasional Johor (RM957,395.65), Umno Pekan (RM700,000), UMNO Johor (RM677,872.55), Jakel Trading (RM628,314), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (RM188,132.26), Yayasan PBAKM (RM100,000), Kasitah Gaddam (RM100,000) dan Sim Sai Hoon (RM41,261.64).

Empat Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur pada 2021 membenarkan kerajaan melucut hak wang daripada 11 responden.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan kerajaan untuk menyita RM2.1 juta lagi daripada dua parti politik, Parti Bersatu Rakyat Sabah (RM1 juta), MCA Pahang (RM835,258.19) dan tujuh individu (jumlah keseluruhan RM265,146.16). – MalaysiaGazette