PUTRAJAYA – Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dimuktamadkan selepas dua kementerian berkaitan mengadakan pertemuan, petang ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebelum harga siling baharu ditetapkan, pihaknya perlu membuat semakan bekalan sumber protein itu dengan kementerian lain.
“Kita akan lihat esok dari segi bekalan dahulu, ia mesti dipastikan cukup dan ia tanggungjawab MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).
“Biar kita lihat datanya dahulu (kemungkinan harga ayam dan telur turun).
“Setakat minggu lepas, KPDN menerima data daripada Jabatan Veterinar bahawa bekalan sehingga Hari Raya Puasa adalah stabil dan mencukupi.
“Oleh kerana ada desas-desus (harga turun) beberapa hari ini, KPDN dan MAFS akan berjumpa petang ini untuk periksa secara tuntas data-data terkini.
“Perkara ini akan diumumkan esok hasil pertemuan KPDN dengan MAFS petang ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDN, di sini, hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan bahawa KPDN akan mewartakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dalam tempoh dua minggu akan datang.
Dalam pada itu, Salahuddin memberi jaminan harga ayam dan telur di pasaran ketika ini tidak berlaku kenaikan yang luar biasa kerana pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa.
“Kita merasakan barang-barang kawalan yang telah kita dapat pantau dengan baik dan kita pastikan tidak berlaku pencatutan harga yang melampau.
“Demikian juga harga barang kawalan yang masih kita pantau, jadi pegawai-pegawai kita setakat hari ini masih memantau dan tidak berlaku isu-isu yang melanggar (peraturan),” katanya.
Beliau berkata, walaupun harga ayam di ladang dikatakan meningkat, namun harga siling sedia ada masih dapat dikawal dan membebankan pengguna.
“Kecuali hari ini kita mendengar tentang harga ladang ayam yang meningkat, petang ini kedua-dua kementerian KPDN dan MAFS akan mengadakan pertemuan.
“Ini disebabkan rantaian bekalan itu up stream mesti disemak daripada MAFS, kami di peringkat down stream kita menentukan dan mengawal dari segi harga dan keberadaan bekalan di pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette