PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menangguhkan bayaran ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal sebelum ini diperintahkan membayar ganti rugi berkenaan selepas didapati bersalah melakukan fitnah terhadap pemimpin DAP itu.
Hari ini, tiga panel hakim yang bersidang diketuai oleh Datuk Yaacob Sam membenarkan penangguhan selepas mendapati adanya merit dalam permohonan Jamal.
Untuk makluman, Jamal ketika ini menangguhkan penghakiman sementara bagi menunggu proses rayuan kes itu selesai.
Dalam pada itu, panel hakim yang turut bersidang bersama iaitu Datuk Gunalan Muniandy dan Datuk Azimah Omar telah memerintahkan Jamal untuk mendepositkan jumlah penghakiman ke dalam akaun peguam Teresa iaitu SN Nair & Partners dalam tempoh 21 hari bermula hari ini.
Firma berkenaan akan memegang jumlah itu sehingga proses rayuan selesai.
Pada 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin telah menetapkan ganti rugi berkenaan selepas mendapati defendan bertanggungjawab dengan sengaja melakukan fitnah terhadap Teresa.
Teresa sebelum ini telah memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.
Jelasnya kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Bekas Menteri itu juga menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. -MalaysiaGazette