Muhammad Shafee Abdullah. Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berasa lega dengan keputusan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan membuat pengumuman selepas mengkaji beberapa isu, terutama berkaitan penghakiman Abdul Rahman.

Tambah beliau, penghakiman minoriti itu telah memberikan pasukannya harapan baharu.

“Kita juga dengar dari Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bahawa petisyen kita sudah mula diproses ketika ini. Sudah ada keperluan untuk Jabatan Peguam Negara menjawab beberapa persoalan.

“Kita juga akan menghantar beberapa lagi dokumen penting dan berkaitan termasuklah penghakiman minoriti yang dibuat oleh hakim hari ini kepada PBB.

“Satu lagi, pengampunan DiRaja juga kritikal kerana kini juga boleh membaca sendiri penghakiman minoriti berkaitan mengapa Najib perlu dibebaskan dan dilepaskan daripada hukuman penjara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding keputusan semakan sabitan yang dipohon Najib terhadap hukuman penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., hari ini.

Pada prosiding lima panel hakim yang bersidang membabitkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.

Empat hakim menolak permohonan semakan manakala Abdul Rahman menyokong semakan dilakukan.

Menurut Muhammad Shafee, dalam penghakiman itu Abdul Rahman telah mempersoalkan kenapa penangguhan tidak diberikan.

“Hakim (Abdul Rahman) telah membuat penemuannya bagaimana anak guam kami tidak mendapat pengadilan yang sepatutnya. Hakikatnya, ini bukan pengakhiran. Kita ada harapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast