Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Nur Maisarah Mahli menggunakan skuter elektrik ke kuliah sebagai salah satu langkah menjamin kelestarian alam. - Foto UPM

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengkaji pemberian subsidi kepada penuntut menara gading itu untuk menggalakkan mereka membeli skuter elektrik sebagai pengangkutan ke kuliah.

Timbalan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, usaha itu diambil bagi mengurangkan penggunaan kenderaan dalam kampus, selain menjamin kelestarian alam.

“Kita akan bagi subsidi kepada penuntut tapi kita akan lihat dulu model skuter elektrik yang tidak bebankan kewangan pelajar. Kita mahu kurangkan penggunaan bas dalam kampus jadi kita galak pelajar guna skuter elektrik,” katanya pada Majlis Promosi UPM Bersama Media di sini semalam.

Katanya, hasrat itu selari dengan pencapaian UPM sebagai kampus paling lestari di negara ini yang mendapat tempat ke-25 dunia pada tahun lalu atas pengiktirafan UI GreenMetric World University Ranking 2022.

Beliau memberitahu usaha membawa masuk skuter elektrik itu masih dalam perbincangan dengan beberapa syarikat untuk memastikan harga yang dijual mampu milik dan lebih rendah daripada harga pasaran.

Mohd Roslan menambah, perkara itu bukan menjadi satu paksaan tetapi hanya satu galakan dan ia terserah kepada mahasiswa untuk meningkatkan kelestarian alam termasuk boleh berbasikal ke kuliah.

Selain itu, Mohd Roslan berkata, pihaknya komited memastikan kelestarian hijau terjamin apabila parkir di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM merupakan parkir berbumbung solar terbesar di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kesemua usaha yang dijalankan itu mampu merealisasikan Matlamat 5 Pelan Strategi UPM 2021-2025 iaitu memperteguh tadbir urus institusi, kemampanan kewangan dan amalan kelestarian hijau. – MalaysiaGazette