Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM – Akibat cintanya ditolak, seorang wanita nekad untuk membunuh diri dengan cuba terjun dari tingkat atas Kompleks PKNS, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tindakan wanita berusia 23 tahun itu disedari orang ramai yang kemudiannya menghubungi pihak polis kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Bagaimanapun cubaan bunuh diri pembantu butik pakaian itu berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak polis.

“Wanita berusia 20-an itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.

“Suspek mempunyai masalah mental dan tekanan perasaan akibat cinta dinafikan dan perkara ini disahkan pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, insiden itu merupakan kali kedua cuba dilakukan wanita yang sama untuk bunuh diri dengan terjun dari tingkat atas Kompleks PKNS, di sini.

“Subjek merupakan seorang pemegang Kad OKU (Mental). Ini merupakan cubaan kedua subjek cuba untuk membunuh diri di tempat yang sama.

“Cubaan pertama adalah pada Mei 2022. Subjek akan menghubungi sendiri bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum membuat cubaan bunuh diri,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menghubungi keluarga wanita terbabit bagi memaklumkan insiden tersebut.

“Ahli keluarga subjek yang tinggal di Seksyen 24, Shah Alam telah dimaklumkan sebaik sahaja pihak polis menerima maklumat awal,” katanya. – MalaysiaGazette