Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan beberapa rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan kali kedua, termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2023.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang yang dijangka dibentang dan dibahaskan adalah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Turut dijangka dibentangkan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.

Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini.

Pada 28 Feb lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast