Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan mewajibkan bayaran pampasan oleh penjenayah kepada keluarga mangsanya (Diyat) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pada masa ini Kanun Acara Jenayah memperuntukkan pampasan melalui Seksyen 426 iaitu pampasan diberikan mahkamah dan bukannya pihak lain.

“Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan diat termasuk implikasi perundangan dan kewangan kepada kerajaan.

“Sekarang ini peruntukan bawah Seksyen 426 memperuntukkan pampasan kepada keluarga mangsa.

“Walaupun mahkamah memerintahkan pampasan diberi, isunya pampasan tersebut mesti datang daripada pesalah itu, ini isu yang sangat penting untuk dikaji lebih lanjut, jadi mahkamah boleh gunakan kuasa dengan lebih pada masa akan datang,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab saranan yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen yang mencadangkan agar penjenayah membayar Diyat kepada waris mangsa ketika membahaskan RUU berkenaan.

Pada masa sama, Ramkarpal berkata, kerajaan turut mengambil kira kepentingan pihak lain, malah sudah berjumpa dengan wakil keluarga mangsa dalam usaha memperkenalkan RUU berkenaan.

“Ini untuk membuat keputusan sewajarnya dan keputusan itu mengambil kira perasaan keluarga mangsa sama ada undang-undang tersebut sama rata dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh dan dibahas 10 Ahli Parlimen.

RUU berkenaan membabitkan enam dasar untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Acara Jenayah.

Mengikut dasar pertama pindaan itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali bagi kesalahan menyebabkan kematian iaitu bagi Seksyen 130C, 130I, 130N, 130O, 130QA, 130ZB, 302, dan 374A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette