sistem kesihatan harga telur subsidi bersasar doktor kontrak
Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendengar dan meneliti permasalahan yang dihadapi doktor kontrak memandangkan isu tersebut sudah lama berlaku dan semakin berlarutan tanpa penyelesaian.

Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, ini bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya mereka perlu mencari titik penyelesaian.

“Kita tidak mahu kehilangan golongan profesional seperti mereka kerana khidmat dan kepakaran mereka masih diperlukan dalam usaha membantu membangunkan perkhidmatan kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai mogok yang dilancarkan sekumpulan doktor kontrak di seluruh negara selama tiga hari mulai hari ini bagi mendesak kerajaan memberi perhatian terhadap aspek kerjaya dan kebajikan mereka.

Lawrence menambah, kumpulan doktor kontrak itu pasti mempunyai alasan tersendiri untuk melakukan mogok dan tindakan tersebut bukan suka-suka dibuat jika ia tidak mendatangkan faedah.

Beliau memberitahu, tugas dan peranan mereka dalam sistem kesihatan negara perlu dipandang serius oleh kerajaan.

“Jika dilihat secara kasarnya, jurang bilangan doktor dan pesakit juga jauh ketinggalan, sebab itu pesakit perlu menunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan rawatan khususnya di klinik dan hospital kerajaan kerana masalah kekurangan doktor,” jelasnya.

Lawrence berkata, lantikan mereka ke perjawatan tetap tanpa pencen berupaya memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

Beliau juga percaya keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menangani isu tersebut diharap dapat menemui titik penyelesaian kerana pengorbanan dan jasa kumpulan berkenaan tidak boleh dipandang sebelah mata.

Lawrence yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar rintihan kumpulan doktor kontrak.

“Tambahan pula pada 2021, semasa beliau bergelar Ketua Pembangkang, beliau turut menekankan perlunya 10,500 doktor kontrak tersebut diserapkan sebagai kakitangan tetap memandangkan jasa dan pengorbanan mereka sewaktu penularan COVID-19 dan dalam masa yang sama untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette