KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Sukan Negara (ISN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) memacu usaha negara meningkatkan tahap kesihatan masyarakat serta mengubah landskap kesihatan negara.
Landskap itu dari sick care kepada healthcare.
KKM dan ISN berkata, MoU tersebut bakal memperkasakan kerjasama kedua-dua pihak dalam aspek perkhidmatan, latihan, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang perubatan sukan negara.
“Pemerkasaan kepakaran perubatan sukan ini juga secara langsung dan tidak langsung mampu mengurangkan kos rawatan perubatan penyakit tidak berjangkit dan berjangkit seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan produktiviti negara serta meningkatkan kemajuan sukan negara,” kata KKM dan ISN menerusi kenyataan bersama.
Terdahulu MoU tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedza Md Ramli.
Jelas kenyataan bersama itu, salah satu aspek kerjasama yang ditumpukan KKM dan ISN adalah perkhidmatan klinikal sains sukan dan rujukan para pelanggan, berdasarkan kesesuaian
lokaliti, fasiliti dan keberadaan pakar perubatan sukan semasa.
KKM dan ISN berkata, langkah itu akan dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman pakar perubatan sukan sekaligus mengurangkan kos rawatan menerusi perkongsian peralatan rawatan dan teknologi.
“Ini termasuk mengukuhkan penglibatan dan peranan ISN dan KKM sebagai sumber rujukan utama dalam bidang perubatan sukan dalam apa-apa aktiviti, acara, pertandingan atau kejohanan sukan yang diadakan,” jelasnya.
Sementara itu jelas kedua-dua pihak itu, aspek latihan dengan program latihan berstruktur dan terselia juga akan dibangunkan melalui kerjasama tersebut.
Dalam masa yang sama, KKM dan ISN akan bertindak sebagai pusat rujukan dan latihan kepakaran perubatan sukan utama dengan sub-kepakaran khusus dalam negara.
“Sebagai contohnya, penganjuran konferensi di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan profesional perubatan tempatan atau antarabangsa dan pertukaran kakitangan untuk menjalani latihan sangkutan di antara institusi,” tambah kenyataan bersama itu lagi.
KKM dan ISN berharap kerjasama ini akan mengukuhkan perubatan sukan dan menggalakkan lebih ramai untuk terlibat dalam aktiviti fizikal dengan kerap dan konsisten serta membudayakan amalan hidup sihat seterusnya merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat
Malaysia.-MalaysiaGazette