Suasana di hadapan bangunan Hosptial Kuala Lumpur berikutan protes doktor kontrak di Hosptial Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Misi sekumpulan doktor kontrak yang merancang melancarkan mogok tidak hadir ke kerja di Hospital Kuala Lumpur (HKL) nampaknya gagal.

Ini kerana pemerhatian sehingga 2 petang tadi di HKL sejak 8 pagi tadi mendapati tiada sebarang kelibat luar atau kemunculan puak yang menganjurkan mogok itu.

Sebaliknya, operasi di Jabatan Kecemasan HKL dipenuhi pesakit seperti biasa dan mereka diuruskan tanpa sebarang masalah oleh kakitangan hospital.

Sementara itu, seorang kakitangan hospital dari Unit Komunikasi Korporat HKL yang mempunyai pengetahuan dengan kehadiran pegawai perubatan memaklumkan bahawa setakat petang tadi tiada rekod ketidakhadiran luar biasa atau serta rekod cuti luar biasa direkodkan pada hari ini.

“Operasi kami berjalan seperti biasa pada hari ini tanpa sebarang gangguan, walaupun pada awalnya kami dimaklumkan bahawa ada sekumpulan doktor kontrak merancang tidak hadir ke tugas selama tiga hari bermula hari ini.

“Manakala, semakan kami juga mendapati kehadiran doktor-doktor adalah normal mengikut jadual tugasan yang disediakan oleh pengurusan tertinggi hospital.

‘Tiada sebarang rekod luar biasa, rekod cuti sakit atau cuti luar biasa yang direkodkan daripada doktor pada hari ini, semuanya normal dan terkawal serta tiada yang dibimbangkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Justeru seorang pesakit lelaki warga emas yang mahu dikenali sebagai Sheikh Alauddin yang datang berurusan penyakit jantung memaklumkan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang isu mogok doktor kontrak pada hari ini di hospital tersebut.

“Saya tak tahu pun ada doktor kontrak mogok hari ini. saya datang untuk rawatan penyakit janutng pagi ini dan keadaan kelihatan normal di hospital setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette