Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan

PEKAN – “Paling saya terkilan sebab hasrat nak bawa dia pergi umrah bulan Januari tahun depan tak kesampaian.”

Begitu luahan Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan, 54, suami seorang mangsa kemalangan di Jalan Rompin Lama dekat Nenasi, di sini, Ruzana Mohamad Agin, 50.

Ketika ditemui, Hamazon memberitahu, dia dan Ruzana yang sudah berkahwin sejak 30 tahun lau itu baharu sahaja membuat perancangan dan persediaan untuk mengerjakan umrah bersama-sama.

“Sebab bulan Januari tahun depan baru saya boleh keluarkan KWSP dan SOCSO. Kami dah merancang untuk pergi kelas sama-sama sebelum mengerjakan umrah tu,” luahnya lagi.

Namun, hajat mereka tak kesampaian apabila Ruzana dan seorang lagi rakannya, Suhaizan Abdullah, 41, masing-masing bekerja sebagai Pembantu Perangkaan ditemukan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin pada pukul 8.30 pagi tadi.

“Dia keluar rumah dalam pukul 7 pagi tadi untuk kerja ke Rompin. Tapi, dalam pukul 9 saya dapat panggilan daripada Tok Pat mengatakan mak mertua saya kemalangan.

“Tapi saya cakap mak mertua saya ada di rumah. Jadi saya secara tak langsung mengesyaki ini berkaitan isteri saya lah. Sebab dia pegang kad pengenalan mak mertua saya tu,” jelas Hamazon menceritakan detik mengetahui berita sedih itu.

Ketika kejadian, pihak bomba memberitahu telah menemui kad pengenalan ibu mentua Hamazon bernama Jemilah Awang Ngah, 74 bersama dua mangsa berkenaan.

Suasana di Unit Forensik Hospital Pekan sementara menanti bedah siasat dua mangsa kemalangan di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin pada pukul 8.30 pagi tadi.

Namun, pengusaha perkhidmatan lori itu menjelaskan bahawa isterinya yang mesra dipanggil Na memang memegang kad pengenalan ibunya itu bagi memudahkan urusan berkaitan di hospital dan sebagainya atas faktor umur.

Bercerita tentang perubahan sikap isteri sebelum ini, Hamazon memberitahu, isterinya memang seorang yang bersifat lembut namun tegas.

Katanya, Ruzana sering keluar rumah awal jika perlu kerja ke luar daerah sehingga kadang-kadang ia tidak disedari Hamazon.

“Tapi sejak seminggu dua ni, pagi-pagi dia suka peluk saya dulu sebelum dia keluar. Itu perubahan dia. Dia suka peluk saya. Sebelum mandi pun dia akan peluk saya,” tambahnya menahan sebak.

Hamizon bagaimanapun reda dengan kehilangan isteri dikasihi dan berjanji untuk menjaga ibu Ruzana, Jemilah Awang Ngah sehingga ke akhir hayatnya.

Difahamkan, jenazah Ruzana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jambu, di sini selepas prosedur bedah siasat di Unit Forensik Hospital Pekan, di sini, selesai.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa kejadian, Suhaizan Abdullah, 41, yang turut meninggal dunia di lokasi kejadian dijangka akan dikebumikan di Kampung Bentan di sini.

Suhaizan dan Ruzana merupakan Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Pahang dikatakan bersahabat baik dan sering bersama sama ada di pejabat mahupun melakukan kerja-kerja luar.

Pada jam 8.30 pagi tadi, kereta Perodua Myvi dipandu Ruzana dikatakan terbabas dan memasuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar lori yang datang dari arah hadapan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memberitahu, Ruzana dan Suhaizan yang dikatakan dalam perjalanan sari Pekan menuju ke Rompin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua kakitangan Jabatan Perangkaan maut dalam kemalangan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast