Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menarik semula pengecualian produk cecair atau gel mengandungi nikotin daripada senarai racun serta menangguhkannya sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, dimuktamadkan.

Pengerusi Jwatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pindaan terhadap kawalan serta sebarang aktiviti penggunaan dan perdagangan vape juga perlu dibuat.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dianggarkan seramai 1.5 juta pengguna vape di Malaysia pada tahun lepas.

“Mereka terdedah kepada risiko penyakit paru-paru iaitu kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan E-Rokok atau Vape.

“Risiko ini terlalu besar untuk digadaikan dengan kutipan cukai yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat gusarĀ  terhadap tindakan kerajaan yang mengecualikan sediaan cecair atau gel itu daripada senarai racun di dalam jadual pertama, Akta Racun 1952 (Akta 366).

Katanya, tindakan diambil ketika banyak pihak sedang giat untuk merealisasikan generasi terakhir (GEG) atau generasi penamat bagi menoktahkan penjualan produk tembakau kepada mereka yang dilahirkan mulai 2007.

Jelasnya, dengan pengecualian produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin dari senarai racun, perusahaaan dan pengilang produk itu akan terus bertambah jumlahnya hingga sukar dikawal.

Malah kata beliau, pengguna vape dalam kalangan anak muda dan remaja sekolah boleh mendapatkan produk vape dengan lebih mudah.

“Kami kesal dengan kegopohan kerajaan yang tergesa-gesa mengambil tindakan ini semata-mata mahu mengenakan duti eksais terhadap produk vape di bawah kawalan Akta Eksais 1976.

“Adakah kerajaan madani lebih mengutamakan wang ringgit berbanding nyawa rakyat dan enggan melihat genarasi akan datangh yang sihat?

“Jelas sekali kerjaan ini mengabaikan tentangan daripada kumpulan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Lembaga Racun Negara,” katanya. – MalaysiaGazette