Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din tidak pernah menghantar sebarang e-mel kepada orang awam berhubung tawaran bantuan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan mana-mana e-mel tawaran untuk memindahkan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM270,000 daripada syarikat Telekom Malaysia kepada akaun bank individu penerima emel tersebut.

“Sehubungan itu, orang awam diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel yang tidak ditentukan kesahihannya.

“Elakkan daripada memberikan butiran peribadi seperti maklumat perbankan internet dan maklumat kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali,” demikian menurut SKMM dalam satu kenyataan, hari ini.

SKMM turut menggesa orang ramai untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya telah membuat transaksi perbankan kepada mana-mana akaun yang dikatakan untuk tujuan yuran pemprosesan sebelum hadiah kemenangan boleh dituntut. – MalaysiaGazette