KUALA LUMPUR – Dalam menghadapi dunia tanpa sempadan pelbagai aplikasi media sosial diwujudkan sebagai alat untuk berkomunikasi selain media massa yang juga menjadi medium untuk penggunanya dalam menggali pelbagai informasi.
Jika selama ini kita diperkenalkan dengan Tiktok, YouTube dan Instagram, kini anda diperkenalkan dengan satu lagi aplikasi media sosial yang dikenali ‘Vortecx.’
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Vortecx, Danial Sarifuddin berkata sebagai permulaan ‘Vortecx’ yang baru dilancarkan bulan ini memberi peluang kepada para pengguna telefon android memuat turun di ‘playstore’ untuk mendapatkan aplikasi ‘Vortecx.’
Beliau berkata walaupun fungsi ‘Vortecx’ hampir sama dengan TikTok, YouTube dan Instagram tetapi yang membezakan ‘Vortecx’ adalah konsep dan kandungannya.
“Jika kita lihat TikTok lebih kepada hiburan dan sebagai salah satu platform menunjukkan kehebatan menari oleh penggunanya. Instagram pula lebih berkongsi foto dan video.
“Istimewanya aplikasi Vortecx, ia lebih menumpukan kepada aktiviti harian seperti berita, hal ehwal semasa dan cerita yang disampaikan dalam format video. Manakala semua kandungan dalam Vortecx adalah daripada pengguna itu sendiri.
“Sebagai contoh jika anda dalam perjalanan ke satu tempat mesyuarat di Kuala Lumpur dan ternampak kemalangan atau kejadian jenayah di kawasan persekitaran, anda boleh merakamkannya kemudian memuat naik ke Vortecx.
“Dengan ini secara tidak langsung anda memberi kesedaran awam kepada masyarakat apa yang terjadi di sekeliling kita,” jelas Danial Sariffudin.
Pada dasarnya, para pengguna boleh berkongsi apa juga kejadian, skandal, gosip, bencana alam dan hiburan dalam format video dan artikel.
Selain itu, Vortecx yang dimiliki oleh Syarikat Grand Media Industry Sdn. Bhd. juga menerima bahan dalam bentuk artikel.
“Sesuatu yang menarik mengenai aplikasi Vortecx, para pengguna juga boleh menyiarkan artikel mengenai pandangan anda kepada hal ehwal semasa malah cerita mengenai anda.
“Aplikasi ini memberi kesedaran kepada masyarakat apa yang berlaku di sekeliling anda kerana anda akan mendapat berita dan cerita terkini. Malah setiap hari, kami akan mengemaskini berita dan cerita. Bukan itu sahaja, malah Vortecx adalah aplikasi sosial media yang pertama di Malaysia dan mempraktikkan konsep sebegini,” kata Danial Sariffudin.
Ironinya, aplikasi sosial media yang lain seperti Instagram, TikTok, Twitter dan Facebook semuanya aplikasi dari luar negara tetapi Vortecx adalah milik tempatan dan dari Malaysia.
“Kami berharap akan mendapat seramai mungkin pengguna menggunakan aplikasi ini yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat,”kata Danial Sariffudin penuh harapan.
Ditanya rancangan masa depannya, Danial Sariffudin berkata;”Dalam tempoh tiga empat bulan lagi kami akan melebarkan aplikasi ‘Vortecx’ untuk para pengguna iPhone pula.” katanya.- MalaysiaGazette