Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Kerajaan Melaka akan mewujudkan semula jawatan timbalan exco dan ia akan diumumkan esok.

Jawatan itu akan turut disertai rakan politik daripada Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, jawatan itu yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan terdahulu akan dianggotai semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu 10 Exco baharu yang dilantik hari ini.

“Semua Exco akan ada timbalan, insya-Allah akan saya umumkan esok selepas menyuarat Exco yang mana komposisinya cantik, menarik dan meletakkan semua ADUN.

“Mereka akan berperanan untuk bersama-sama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya menjadi lebih mantap. Semua akan dapat (termasuk ADUN PH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN PH mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak yang melihat kewujudan jawatan Timbalan exco sebagai satu pembaziran, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, ia berbeza pada zaman Ketua Menteri terdahulu, Adly Zahari yang tidak mewujudkan jawatan itu.

“Dia lain, dulu lain sekarang, bergantung pada cara kita dan saya rasa zaman saya uruskan kerajaan adalah lebih sesuai meletakkan semua Exco untuk wujudkan timbalan untuk lebih bekerjasama dalam membangunkan Melaka.

“Saya perlukan semua wakil rakyat untuk tunjukkan bahawa tidak ada yang tidak diberikan peranan bersama-sama saya bangunkan Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette