KUALA LUMPUR – Gedung pakaian, Jakel kembali dengan tawaran jualan menarik sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri kepada orang ramai menerusi pembukaan premis baharu miliknya di Seksyen 7 di Shah Alam hari ini.
Gedung baharu itu terletak 200 meter dari premis lama iaitu Wisma Jakel cawangan Shah Alam yang sebelum ini musnah dalam kejadian kebakaran awal tahun ini.
Menurut pengarah urusannya, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, premis berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan dijangkakan mampu memberikan lebih keselesaan kepada para pelanggan.
“Premis baharu kami yang terletak bersebelahan Hospital Shah Alam ini turut menyediakan kawasan letak kereta yang kondusif iaitu berkapasiti 1,000 ruang dalam satu masa.
“Kita turut menyediakan perkhidmatan buggy khusus untuk membawa pelanggan dari tempat letak kereta hingga ke hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mohamed Feroz mengajak warga Shah Alam dan orang ramai untuk meluangkan masa berkunjung ke Jakel Shah Alam yang baharu itu sambil membeli belah dengan tawaran harga yang menarik.
“Apa pun kami bersyukur kepada Allah kerana dengan izinnya, Jakel Shah Alam baharu ini sempat dibuka sempena ketibaan Aidilfitri.
“Pada masa sama, orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan produk jenama Ariani dan Hajrah di sini,” katanya.
Mohamed Feroz menambah, di samping itu, selari dengan inisiatif dan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihaknya turut melancarkan Kempen Jualan Rahmah Jakel baru-baru ini.
“Kita ingin turut meringankan beban rakyat pada masa sama memastikan semua orang berpeluang bergaya di hari raya Aidilfitri.
“Jika dulu samping dijual pada harga RM119, sekarang hanya ditawarkan dengan harga RM39 menerusi kempen ini, ” ujarnya.
Selain itu, kata beliau, Aaron Aziz dan Nabil Ahmad dipilih menjadi duta Jakel tahun ini, di mana baju Melayu mereka yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM229, kini hanya dijual RM149 termasuk samping dan butang baju percuma. – MalaysiaGazette