Pemain Terengganu FC (TFC) Ivan Mamut (dua, kiri) dikejar oleh pemain Kelantan FC pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, malam ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA NERUS – Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui lega selepas jentera serangannya kembali menemui sentuhan apabila mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong di laman sendiri, Steinbrucker turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menebus kekecewaan penyokong terhadap prestasi skuad Penyu yang kurang menyerlah musim ini.

Steinbruckner berkata sebelum ini pasukannya dibelenggu masalah ketumpulan penyudah sehingga mengakibatkan banyak peluang terhasil gagal diterjemahkan ke bentuk gol.

“Saya sangat gembira kerana ketiga-tiga penyerang, semuanya menjaringkan gol. Dalam perlawanan sebelumnya, kami juga mencipta begitu banyak peluang dan semua orang bermain dengan baik… tetapi sukar untuk menjaringkan gol.

“Kini saya benar-benar berpuas hati dengan keputusan itu dan melihat dengan optimis untuk perlawanan seterusnya menentang Kuching City FC,” katanya selepas perlawanan menentang Kelantan FC di SSMZA malam tadi.

Pada aksi tersebut, Ivan Mamut muncul wira apabila meledak dua gol manakala Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Hakimi Abdullah, masing-masing menyumbang satu jaringan untuk pasukan.

Kemenangan tersebut membolehkan TFC naik dari tangga kelapan ke tangga keenam Liga Super dengan kutipan 10 mata daripada tujuh perlawanan.

Sementara itu pengendali sementara Kelantan FC Rezal Zambery Yahya berkata kekalahan tersebut menjadi cabaran untuk pemain memperbaiki pelbagai kelemahan yang ada.

Menurut beliau belum terlambat untuk skuad Kijang Emas melakukan perubahan meskipun kalah teruk dalam aksi malam tadi.

“Pemain perlu bekerja keras kerana kita kini bermain di Liga Super yang corak permainan serta kualiti pemainnya jauh berbeza,” katanya yang dilantik sebagai caretaker Kelantan FC selepas ketua jurulatihnya Choi Moon Sik direhatkan hanya kira-kira 30 minit sebelum perlawanan berlangsung malam tadi.- BERNAMA