Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Kewangan berharap Rang Undang -Undang (RUU) berkaitan cukai minimum global (GMT) dapat dibentang di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, GMT merupakan salah satu kaedah baharu yang dilaksanakan di seluruh dunia kepada syarikat multinasional (MNC) pada kadar minimum 15 peratus.

Katanya, kertas berkaitan RUU itu sedang disediakan oleh Bahagian Cukai Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pelaksanaan cukai GMT itu perlu dilaksanakan pada tahun hadapan kepada MNC, terutama yang mempunyai kilang dan pelaburan di negara ini.

“Begitu juga di negara lain, mereka kenakan kaedah itu minimum 15 peratus dan ia juga dikenakan kepada MNC itu oleh negara yang berkaitan di mana syarikat itu berada. Jika negara itu tidak mengenakan, negara asal MNC itu akan mengenakan terhadap syarikat berkaitan.

“Oleh itu, rugi kalau negara asal yang kenakan, lebih baik kita yang laksanakan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menghadiri Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini, hari ini.

Tambah Ahmad, beliau tidak khuatir jika cukai GMT itu dikenakan kepada semua syarikat MNC yang bertapak di negara ini kerana mereka perlu akur dengan standard antarabangsa.

Selain itu, Malaysia mempunyai tarikan sebagai sebuah destinasi pelaburan.

“Saya kira pelabur datang ke Malaysia kerana kestabilan politik, kedua adalah prasarana yang baik, ketiga kerana kita boleh menyediakan pekerja yang berkemahiram kepada pelabur.

“Jadi selain daripada insentif cukai, itu tiga perkara yang boleh kita adakan untuk mereka. Sebelum ini, empat tahun setengah, politik negara kita tidak stabil tapi kini politik sudah stabil,” jelasnya dengan penuh yakin.

Malaysia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan GMT sebanyak 15 peratus kepada sesetengah syarikat multinasional (MNC).

Negara ini juga antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu.

Pelaksanaan sistem cukai itu untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi ucapan pada Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, MOF kini sedang mempertimbangkan bagi memberikan insentif bukan cukai kepada MNC bagi menarik lebih lagi pelaburan asing.

Mengulas mengenai kutipan pelaksanaan GMT jika dilaksanakan pada tahun hadapan, beliau menjangkakan sasaran sebanyak RM1 billion mampu diraih.

“Perkara itu (GMT) memang perlu dilaksanakan dan boleh menjadi sumber baharu bagi hasil cukai negara, mungkin selepas diperkenalkan kita mampu peroleh RM1 bilion sebagai permulaan,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung Program Pengakuan Secara Sukarela (PPSS) LHDN sebagai strategi perluasan hasil cukai, Ahmad berkata, ia akan dilaksanakan bermula 1 Jun depan dan berakhir pada 31 Mei 2024.

“Program ini dijangka melibatkan sebanyak 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan cukai bernilai RM1 bilion,” katanya.

Oleh itu, pembayar cukai dinasihatkan untuk ke pejabat LHDN apabila program mula dilaksanakan sebelum aktiviti audit dan siasatan iaitu prosedur biasa diambil LHDN ke atas mereka. – MalaysiaGazette