Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menggandakan tawaran had Pembiayaan Peribadi-i kepada RM400,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, penambahan ini merupakan inisiatif bank tersebut dalam memastikan kemudahan pembiayaan berlandaskan Syariah tersedia sekali gus memenuhi keperluan aliran tunai masyarakat.

Bagaimanapun, jelas beliau, pembiayaan yang ditawarkan berdasarkan bersesuaian dengan tahap kewangan pelanggan.

Ujarnya, ini bagi mengelakkan bebanan bayaran balik pada masa akan datang.

“Di samping sebagai tanda keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan pelanggan, pelaksanaan ini juga adalah bagi menghargai keyakinan pelanggan kepada produk dan perkhidmatan Bank Rakyat selama ini yang mana dilihat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

“Seiring dengan tawaran semasa di pasaran ketika ini, langkah ini juga jelas menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam usahanya bagi meningkatkan lagi portfolio pembiayaan runcit,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, Bank Rakyat sebagai salah satu institusi kewangan Islam sentiasa bersedia menawarkan kemudahan pembiayaan pada kadar keuntungan yang kompetitif.

Sementara itu Mohammad Hanis berkata, selain Pembiayaan Peribadi-i, Bank Rakyat turut menawarkan produk pembiayaan runcit patuh Syariah antaranya Pembiayaan Kenderaan-i. Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i serta pembiayaan perniagaan.-MalaysiaGazette