Hamidah (baju putih) berjalan keluar selepas selesai membuat laporan polis di IPD Dang Wangi,Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Gabungan Gerakan Keadilan menggesa kerajaan mengheret Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali susulan dakwaan berlaku konflik kepentingan dalam kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Koordinatornya, Datuk Hamidah Osman mempersoalkan, mengapa Mohd Nazlan seolah-olah memiliki keistimewaan sedangkan terbukti rumusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes mendapati beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes tersebut.

“Patutnya, beliau harus dibawa kepada tribunal oleh pimpinan negara terutama oleh perdana menteri kerana perkara ini telah menjadi public interest…rakyat sedang memerhati dan melihat.

“Kenapa Hakim Nazlan ini begitu istimewa sehinggakan tidak ada apa-apa tindakan boleh diambil malah dapat naik pangkat lagi,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Hamidah berkata, tidak ada sesiapa pun di dalam negara ini yang boleh mengatasi undang-undang.

Tegasnya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, tindakan perlu diambil dan tidak wajar diberikan sebarang imuniti terhadapnya sama jika rakyat yang melakukan kesalahan.

Katanya, cara yang paling berkesan untuk mengenakan tindakan terhadap Nazlan adalah dengan membawanya ke tribunal.

“Kita berharap suara yang dibawa oleh NGO seperti kami ini akan didengari oleh Perdana Menteri.

“…dan jika ada bukti-bukti yang sah tindakan perlu diambil terhadap kedua-dua mereka. Walaupun ia hanya melibatkan Datuk Seri Najib, tetapi kita ingin rakyat melihat undang-undang negara ini betul-betul dipraktikkan secara hak dan saksama,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, rumusan SPRM mendapati Mohd Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam surat bertarikh 20 Mac kepada Shafee & Co iaitu firma guaman yang mewakili Najib.

Surat yang dipercayai telah ‘bocor’ itu menyatakan Mohd Nazlan telah melanggar kod etika kehakiman dan mempunyai konflik kepentingan.

Dalam pada itu, Hamidah turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Idrus Harun.

Katanya, laporan polis yang dibuat hari ini adalah susulan mengesyaki Tengku Maimun dan Idrus sedang ‘melindungi’ Mohd Nazlan daripada sebarang tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atasnya.

Jelasnya, tindakan Tengku Maimun dan Idrus boleh disabitkan dengan satu kesalahan di bawah Sekysen 212 dan 217 Kanun Keseksaan kerana solah-olah melindungi seseorang yang bersalah terhadap satu tindakan undang-undang.

“Saya rasa perkara ini tidak elok dilihat berlaku dalam negara dan ini juga sebenarnya menakutkan rakyat ekoran berlakunya pencemaran terhadap undang-undang dalam negara ini.

“Ia juga menakutkan-nakutkan pelabur luar bila kita tidak mempraktik undang-undang secara rasional dan saksama,” katanya. – MalaysiaGazette