Nooryana Najwa Mohd Najib

KUALA LUMPUR – Tindakan perlu diambil terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Nooryana Najwa Najib berkata, perbuatan hakim berkenaan merupakan kesalahan serius yang menjejaskan badan kehakiman negara.

Menurut anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, setiap hakim seharusnya berpegang kepada prinsip yang tertinggi.

“Tiada lagi berselindung di sebalik tabir kejahilan. Perkara serius yang menjejaskan badan kehakiman.

“Tindakan mesti diambil dengan segera. Hakim harus dipegang pada tahap tertinggi,” katanya dalam nota ringkas di Instagram.

Exco Puteri UMNO itu mengulas laporan akhbar mengenai pengesahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Mohd. Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Media semalam melaporkan, Azalina mengesahkan bahawa Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. melibatkan Najib.

Pengesahan itu dibuat dalam surat Azalina bertarikh 20 Mac 2023 kepada firma guaman Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Shafee & Co yang mewakili Najib.

Azalina menjawab soalan Muhammad Shafee, sama ada laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Mohd. Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Dalam surat kepada Azalina pada 15 Mac 2023, peguambela Najib itu turut bertanya, jika SPRM menulis surat kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Mohd. Nazlan.

“Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif,” kata Azalina dalam surat seperti dilaporkan portal berita tempatan.

Media sebelum ini melaporkan, tular di media sosial tangkap layar surat dikatakan laporan daripada SPRM mengenai dakwaan salah laku hakim perbicaraan Nazlan.

Laporan SPRM itu juga menyebut Mohd. Nazlan dilantik selepas tiga hakim menolak untuk mengadili Najib.

Pada Februari lalu panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun dilaporkan menuduh SPRM tidak mengikut protokol dalam menjalankan siasatan terhadap Mohd. Nazlan.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.-MalaysiaGazette