Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Pas Selangor mengakui Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu mencatatkan peningkatan ketara ketika era bersama Pakatan Rakyat (PR) tahun 2008.

Bagaimanapun, kata Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, berlaku penurunan jumlah TRM di negeri itu antara tahun 2019 hingga 2021 iaitu selepas Pas keluar dari PR.

Katanya, sebelum itu, bagi tahun 1997, data yang dikemukakan menunjukkan TRM di Selangor mencatatkan jumlah sebanyak 170,940 hektar, sebelum berkurangan selepas 22 tahun kemudian.

“Di era Pas bersama PR memerintah Selangor pada tahun 2008, TRM mencatatkan peningkatan ketara iaitu lebih 30,000 hektar. Namun, jumlahnya mulai menurun secara mendadak sebanyak 3,200 hektar dari tahun 2019 hingga 2021.

“Berdasarkan data yang dikongsikan, TRM di Kelantan yang diperintah Pas mencatatkan jumlah paling tinggi dalam negara iaitu 1.453 juta hektar.

“Manakala, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak tiada maklumat yang jelas berkenaan TRM atau hak milik Bumiputera,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian merujuk ciapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi Twitternya bahawa keluasan TRM meningkat dari tahun 1947 hingga 2022.

Namun, kata Nik Nazmi, berlaku penurunan di Kedah berdasarkan data antara 2021 hingga 2022.

Menurut Ahmad Yunus, atas dasar akauntabiliti dan tatakelola yang baik, Pas menggesa kerajaan Selangor memberi penjelasan kepada rakyat dan orang Melayu berkenaan kehilangan 3,200 hektar TRM itu untuk dari 2019 hingga 2021.

Sehingga kini, tegasnya, tiada penggantian penuh dibuat dan ianya bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu (ERM 1933).

ERM 1933 itu menyatakan, “Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja, maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah merujuk kepada Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.”

Katanya, kelemahan dan kecuaian kerajaan negeri PH tidak lagi boleh dimaafkan oleh rakyat dan majoriti orang Melayu apabila hak mereka tergadai, sedangkan ERM telah dijamin perlembagaan bagi memastikan tanah-tanah kepunyaan Melayu dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hormati dan ikhtiraf hak asasi warganegara asal migran ekonomi bukan pribumi daripada Tanah Besar Cina dan India yang tiada hak warganegara tempatan. Kenakan yuran residency dan cukai harta lebih tinggi kepada migran ekonomi bukan pribumi yang menduduki tanah rizab Melayu walaupun politikus Pak Pandir kemaruk sokongan undi migran ekonomi bukan pribumi ibarat menang sorak kampung tergadai sebijik macam Singapore dan Penang.

Comments are closed.