Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama kanak-kanak ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Rights To The City: Kita untuk Kita (K2K) di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta untuk membaikpulih dan menyelenggara Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang uzur di Kuala Lumpur dan Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu akan memberi keutamaan kepada PPR yang mengalami masalah kerosakan infrastruktur yang serius.

“Kita ambil kategori termasuk yang sini (PPR Kg Baru Hicom), kategori yang ada masalah yang lebih serius selain peruntukan sedia ada.

“Kemudian yang RM35 juta ini kita anggarkan sekurang-kurangnya 10-12 PPR tetapi ditetapkan kategori yang bermasalah di Kuala Lumpur dan Selangor.

“RM35 juta itu kita telah luluskan dan boleh dalam kadar segera, sebab keadaan rumah-rumah (PPR) dalam keadaan tenat,” katanya kepada pemberita di PPR Kg Baru Hicom, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Program Kita-Untuk-Kita (K2K) anjuran anak syarikat Khazanah Nasional, Think City.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan peruntukan lain untuk penyelenggaraan dan menambah baik PPR di Lembah Klang khususnya tidak akan terjejas.

“Baiki lif memang sudah ada peruntukan, dan saya bincang dengan KPKT supaya percepatkan proses.

“Kita tidak ikut tender panjang yang biasa, tapi tender terhad supaya dapat dipercepatkan dalam tempoh tiga bulan diperbaiki lif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast