SHAH ALAM – Hasrat UMNO yang mahu mempersembahkan permohonan pengampunan Diraja untuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani hukuman 12 tahun penjara ketika ini tidak mempunyai konflik kepentingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan rakan politik Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ia tidak berbangkit, soalnya proses mohon pengampunan itu dibenarkan oleh sesiapa, jadi boleh dibawa tetapi pastinya kita akan patuh kepada peraturan-peraturan dan syarat-syarat.
“Soal penganugerahan pingat dan pengampunan itu adalah wewenang dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi tak perlu kita bahaskan di awam kerana proses itu mesti dilalui
“Tidak timbul soal percanggahan kepentingan, saya tidak lihat kertas saya tak lihat proses,” katanya pada sidang media di PPR Kg Baru Hicom, di sini, hari ini.
Petang semalam, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan permohonan memberi pertimbangan pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka beserta memorandum ditandatangani seluruh pimpinan UMNO daripada 191 bahagian.
Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak akan menghalang tindakan UMNO membuat permohonan Diraja itu sambil mengakui prosesnya amat rumit untuk dilakukan.
“Proses ini sepatutnya dihormati sepenuhnya dan kita akan lihat keseluruhan kes itu dan saya rasa ia pramatang sekarang untuk saya komen.
“Ini kerana saya tak tengok apa-apa lagi kecuali resolusi UMNO dan parti itu sendiri termasuk mereka yang disabitkan kesalahan mempunyai hak untuk melakukan rayuan.
“Saya tidak mahu menghalang sesiapa dalam hal ini. Apa pun prosesnya sudah tentu sangat rumit, ia mesti ikut proses dan akhirnya keputusan adalah semata-mata budi bicara daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Polemic lawak jenis apa ni???
berputar-putar berbelit-belit berpusing-pusing ligat
Welanon Welanon ni demi menampakkan macam sempurna macam baik banyak teori kelaut dianggap paling sesuai janji asal cakap ada bunyi hahahaha