Muhammad Asyraf (kanan) dan Afifa Syakirah menjulang Jalur Gemilang di negara Brunei.

KUALA LUMPUR – Muhammad Asyraf Amir dan Afifa Syakirah Mohd Radzi telah berjaya mengharumkan nama negara dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran beserta Pemahamannya 2023 di Brunei.

Muhammad Asyraf mendapat tempat pertama dalam kategori hafazan 10 juzuk dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 4,000 Brunei Dollar beserta piala dan hadiah iringan.

Beliau yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muar berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya ke Darul Quran JAKIM selepas tamat tingkatan 5.

Manakala Afifa Syakirah pula mendapat tempat ketiga dalam kategori hafazan 30 juzuk.

Mahasiswi Tahun 3 Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) ini membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai bernilai B$4,000 beserta piala dan hadiah iringan.

Dalam bidang pengajiannya, Afifa Syakirah memilih bahasa Arab.

Kejayaan mereka berdua telah membuktikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa memartabatkan al-Quran dalam kehidupan ummah selaras dengan aspirasi kerajaan Madani. – MalaysiaGazette